Mesin pembersih hampagas diulang lalu dan sedut di kawasan yang sama.
Bunyi hamburan dari motornya menenggelamkan segala bicara.
Pendengarannya pula sengaja dipekakkan dengan sumbatan fon telinga.
Matanya dipejam, kepala dan pinggulnya diayun mengikut irama.
Ke hadapan dan kembali undur ke belakang,
kepala penyedut mesin hampagas bergerak sekejap ke kiri dan ke kanan,
namun tidak pernah pergi jauh dari radiusyang sama.
Si lelaki hanya memerhati dari meja makan.
Sama ada kewujudannya tidak disedari atau sengaja diabaikan.
Hatinya terhenti mahu meneruskan kata-kata.
Tidak sampai hatinya mengganggu wanita yang
pernah dijanji untuk hidup mati bersama itu.
Kerana dia sangat memahami perlakuannya itu sekarang.
Sama ada dia sedang gembira atau memendam rasa,
tiada apa bezanya kerana dia tetap tidak sampai hati mengganggu.
Tidak tergamak menghentikan tarian yang pernah
membuatnya terpesona itu, dulu, sekarang dan sampai bila-bila.
Walaupun hatinya penat,
sesungguhnya penat menunggu bilakah pengakhirannya tiba.
0 comments :
Post a Comment